Monday, April 6, 2020

NUKILAN IDAMAN PUYU


Berlari-lari gadis bersaiz kecil itu menaiki tangga ke kamar Anggerik. Dia terlupa janjinya untuk bertemu Yana malam itu. Langkah dipercepatkan sambil mata menjeling jam di tangan dan otaknya ligat memikirkan alasan yang bakal diberi nanti.
            Ain tarik nafas panjang-panjang. Dengan lafaz Bismillah, dia mengetuk pintu kamar Anggerik. Jantung berdegup laju seperti baru menamatkan larian 100 meter.
            “Masuk!” Suara nyaring dari dalam bilik yang sering membuatkan dia kecut perut itu kedengaran.
            Ain membetulkan tudungnya sebelum memulas tombol pintu. Ya Allah, selamatkanlah aku! Pintu dibuka perlahan-lahan.            Panahan mata Yana yang tajam itu menikam tepat ke anak mata Ain. Ain tunduk, tidak berani bertentang mata dengan seniornya itu.
            “Kenapa lambat? Kau ingat aku ni siapa nak tunggu kau?”
            Ain tetap tidak angkat muka. Lebih baik diam dari berkata-kata. Yana letak majalah yang dipegangnya ke tepi katil. Dia mendekati Ain yang berdiri di tepi pintu.
            “Kau dengar tak? Kenapa tak jawab? Tengkingnya geram.
Ain tetap membisu.
“Hoi, jawablah!”
Senyap lagi. Hujung jari kaki Ain menguis permaidani kecil di tepi pintu kamar itu.
Pang! Telapak tangan Yana singgah di pipi Ain. Senget tudung pelajar Tingkatan Satu Cemerlang itu dek tamparan yang kuat itu. Mata Ain dah berair. Dia tahan supaya tidak menitis jatuh. Tamparan yang bukan julung-julung kali diterimanya.
“Aku marah sikit dah menangis. Ingat aku kesian ke?” Yana menyidir sinis.
Pintu ditolak dari luar. Laili teman sebilik Yana masuk dengan wajah mengantuk. Buku Biologi di tangannya diletak di atas meja belajar.
“Kenapa Ain?” tegurnya apabila melihat mata juniornya itu berair dan merah.
Yana tarik muka.
“Baru marah sikit dah menangis. Menyampah betul aku.”
Laili geleng kepala melihat kesan merah di pipi Ain.
“Kau ni Yana, janganlah pukul-pukul anak orang. Kesian dia.”
“Ala, dulu aku kena sepak terajang lagi. Ada aku kisah?”
Laili merebahkan tubuhnya ke atas katil.
“Suka hati kaulah. Tapi jangan menyesal kalau jadi apa-apa pada dia nanti. Aku tak mahu masuk campur.”
Yana berpeluk tubuh. Dia memerhati Ain yang mengelap pipinya yang sudahpun basah.
“Mengada-ngada.” Matanya mengerling tajam di dinding. Waktu sudah jam 11.00 malam.
“Ambil termos ni. Pergi ambil air panas. Aku nak makan mi. Pandai-pandailah kau nak cari.”
Ain mengangguk perlahan dan menyambut termos kecil merah itu dengan tangan separuh mengigil. Dia sarung sandalnya dan cepat-cepat keluar dari bilik itu. Mana nak cari air panas? Pemanas air di bilik rehat sudah rosak. Para pelajar  pula memang tidak dibenarkan membawa cerek elektrik. Dewan makan pula sudah tutup.
Dia mengeluh perlahan. Pipinya yang terasa perit tadi disentuh. Kalau dia gagal menunaikan arahan Yana lagi kali ini, pasti sebelah lagi pipinya pula yang menjadi mangsa. Ain tiba-tiba teringat ‘water cooler’ yang terletak di blok pentadbiran. ‘Water cooler’ itulah satu-satunya yang berfungsi dengan baik. Air panasnya pula betul-betul panas seperti baru dimasak.
Ain senyum. Langkahnya diatur girang ke blok pentadbiran. Pasti dia tidak akan dimarahi lagi kali ini.
Ketukan bertalu-talu di pintu menyedarkan Yana dari lena. Dia menggosok-gosok mata sambil turun dari katil. Siapa yang datang malam-malam ni? Pintu dibuka. Tiada orang.
“Siapa ni? Main-main pulak.” Yana tutup pintu kembali. Baru sahaja dia hendak naik semula ke katil, pintu diketuk lagi. Yana mendengus.
“Tadi tak mahu masuk.”
Tiada orang juga. Kali ini Yana rasa tidak sedap hati. Dia tutup pintu. Jam  sudah menunjukkan jam 3.00 pagi. Tidak mungkin masih ada pelajar yang masih berjaga waktu-waktu begini. Yana cepat-cepat ke katil. Bulu romanya sudah mula meremang. Seram.
Pintu diketuk sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Yana tenung pintu biliknya itu. Semakin lama, semakin kuat. Sampaikan bagai hendak tercabut pintu  itu. Yana teringat Laili yang di atas katil. Dia cepat-cepat mengejutkan Laili tetapi sedikit pun kawannya itu tidak berkuit, sedangkan selalunya Laili mudah terjaga.
Yana ketakutan. Bunyi ketukan sudah berhenti tetapi berganti dengan bunyi seakan-akan pintu dicalar. Kuat sungguh bunyinya. Mustahil binatang boleh mencakar sekuat itu. Yana menekup telinganya dengan bantal.
“Pergi!” jeritnya sekuat hati.
Bunyi itu lebih kuat lagi. Kedengaran pula bunyi seseorang sedang ketawa mengekek. Yana hampir menangis.
Keadaan reda tiba-tiba. Yana diam menggigil di dalam selimutnya. Perlahan-lahan, dia mengangkat bantal yang menutupi mukanya.
Ain berdiri di tepinya dengan darah yang membuak-buak keluar dari dahinya yang terkoyak. Tangannya yang kecil itu memegang kuat tangan Yana.
“Ain, maafkan aku. Aku takkan buli kau lagi,” Yana sudah menangis tersesak-esak. Dia takut Ain marah dan ingin membalas dendam kepadanya. Ain ukir senyum. Senyum aneh yang menakutkan. Dia mengheret Yana keluar dari bilik itu. Yana menjerit apabila Ain yang bertubuh kecil itu mengangkat kakinya dan menolaknya jatuh.
“Jangan Ain!”
Yana pejam mata, dia terasa tubuhnya melayang jatuh ke bawah dari biliknya di tingkat lima itu.
“Aghh!” Yana tersedar. Tubuhnya berpeluh-peluh. Dia mengucap panjang. Mimpi rupanya. Yana menoleh ke arah Laili yang masih nyenyak. Dia meraup mukanya. Mimpi apakah itu? Adakah ini petanda buruk? Pintu diketuk, Yana menelan air liur. Jam menunjukkan 3.00 pagi, sama seperti mimpinya tadi. Yana memberanikan diri membuka pintu.
“Akak, ni air panas.” Termos kecil berwarna merah dihulur.
“Kau rupanya Ain, terkejut aku.” Dia menyambut termos itu dari tangan Ain. Lega hatinya melihat Ain. Ain senyum sebelum berlalu.
“Ain.” Yana memanggil, serba salah.
Ain berhenti tapi tidak menoleh.
“Maafkan aku ya.”
Tiada sebarang reaksi. Ain terus menghilang di sebalik dinding untuk menuruni tangga. Yana tutup pintu. Tiba-tiba berasa kasihan kepada junior yang dibulinya itu. Marahkah Ain kepadanya? Termos merah diletak di atas meja belajar. Perut terasa lapar. Cadangnya hendak memasak mi sebelum tidur tadi tetapi Ain tidak kelihatan dan dia tertidur dengan perut kosong.
“Ain!” Laili berlari masuk ke bilik. Mukanya pucat.
Yana yang sedang menelaah buku kimianya terperanjat.
Cermin mata ditanggalkan dan diletakkan ke tepi buku.
“Kenapa?” tanyanya hairan.
“Ain...” putus-putus nafas Laili. Tangannya mengurut-urut dada. Berkerut dahi Yana. Pelbagai persoalan timbul dibenaknya.
“Jom ikut aku.” Dia menarik tangan Yana dengan kuat.
Di hadapannya, semua pelajar berkerumun di tangga blok pentadbiran. Yana menelan air liur.
“Apa yang terjadi? Kenapa kecoh sangat ni?”
Hujung sandal Yana terpijak darah di lantai yang sudah beku. Ketika pelajar lain membuka laluan kepadanya, dia melihat Ain terlentang dengan darah masih belum berhenti keluar di dahinya. Di sisinya, termos kecil berwarna merah masih erat dipegang oleh Ain.
Yana terduduk dengan muka pucat tidak berdarah. Termos itu, bukankah ada di bilik? Kan Ain sudah memberikan termos itu pagi tadi?
Yana teringat sesuatu. Dia berlari balik ke bilik. Pelajar lain hairan melihat perilakunya. Laili mengekori Yana dari belakang.
Penutup tong sampah dibuka dengan tangan menggeletar. Bungkusan mi kari masih di situ. Jadi, malam semalam, yang beri air panas itu ... SIAPA?





No comments:

Post a Comment